Tuesday, May 24, 2016

Suatu Pengalaman... Seribu Kenangan...


By:- Mohd Najmi Saffuan bin Yaakob  
          TEF 150007
     






Perkampungan orang asli? Ouh tidak! Pada awalnya saya agak pesimistik terhadap tugasan yang telah diamanahkan kepada kami. Ya. Menghabiskan masa selama 4 hari di perkampungan orang asli yang jauh terpencil. Bukannya apa, sebab sudah terbiasa menghabiskan hari-hari biasa dengan melayari internet tidak kiralah melalui komputer riba ataupun telefon pintar. Subjek Jalinan Masyarakat merupakan kos universiti yang wajib diambil untuk semua pelajar pada semester 2 tahun pertama dan tempat yang menjadi destinasi para pelajar Fakulti Bahasa dan Linguistik untuk Jalinan Masyarakat kali ini adalah di Sekolah Kebangsaan Lanai, Pos Pantos di Kuala Lipis, Pahang.

Meskipun saya sememangnya gemar aktiviti amal seperti ini, perkongsian daripada rakan-rakan yang pernah menghabiskan masa di sana ditambah lagi perasaan yang kuat untuk tidak meninggalkan kehidupan penuh gadget menyebabkan perasaan yang berbaur. Namun, memandangkan ini adalah satu keperluan kepada kami, pelajar Universiti Malaya, untuk mengambil kos ini demi melayakkan diri untuk bergelar graduan suatu masa nanti maka kami gagahkan juga. Maka, pada penghujung sem 1 yang lalu, bermulalah gerak kerja kami, pelajar tahun 1 Fakulti Bahasa dan Linguistik untuk menjayakan program ini.





SEBELUM
Uniknya kami berbanding pelajar-pelajar di luar sana adalah Jalinan Masyarakat Fakulti Bahasa dan Linguistik merupakan gabungan besar semua jabatan yang berada dalam fakulti ini. Tugasan pertama yang diberikan kepada kami adalah untuk menulis surat kepada adik-adik angkat kami yang terdiri daripada pelajar-pelajar tahun 4, 5 dan 6 SK Lanai, Pos Pantos. Senarai nama para pelajar juga dah diagihkan dan guess what? Saya dapat adik perempuan!!! Ahahaha yeah~ teruja sangat. Namanya Nur Shafiqa bt Abdul Malik.


Banyak persoalan yang timbul dalam kepala kami ketika itu. Mahu tulis apa? Bagaimana perasaan mereka nanti? Bagaimana rupa mereka? Bagaimana aku nak buat kad yang comel? Betul-betul pening haha. Untuk memudahkan sekali adik-adik angkat kami membalas surat tersebut, kami telah diarahkan untuk menyertakan sekeping setem dan sampul kosong. Malangnya sehingga ke hari ini surat tu masih belum diterima huhu. Sedih yang amat~~~ Tambahan pula beberapa hari sebelum berangkat kami dikhabarkan dengan berita kematian salah seorang pelajar SK Lanai.

Selain itu, kami juga telah diagihkan tugas mengikut jabatan masing-masing. Jabatan bahasa Perancis yang bertuah telah dipertanggungjawabkan untuk mengurus Biro Dana dan Tajaan Jalinan Masyarakat kali ini. Fuhhhh semangat~ Bukan mudah rupanya nak mencari tajaan ni. Pelbagai syarikat telah kami hubungi. Ada juga yang telah menelefon sehingga habis berpuluh-puluh ringgit namun tiada hasilnya. Paling mengecewakan apabila cuba mendapatkan dana daripada seorang wakil rakyat. Permohonan ditolak kerana tidak mendatangkan keuntungan katanya. Geram betul waktu tu. Ditambah pula tekanan kerana detik program yang dinanti-nanti sudah semakin hampir.

Namun alhamdulillah, berkat kerjasama semua ahli biro tajaan sendiri, dan juga rakan-rakan dari biro lain yang tidak penat mengadakan aktiviti fund raising untuk mencari dana, kami berjaya juga mengharungi cabaran yang mendatang meskipun tidak begitu memberansangkan. Walau bagaimanapun perasaan bersalah tetap terdetik di dalam hati ekoran gagal menunaikan amanat yang telah diberikan.

SEMASA
Ya akhirnya hari yang ditunggu-tunggu telah pun tiba. Program ini berlangsung selama 4 hari dari 15 April 2016-18 April 2016. 4 hari je… Apalah sangat~~~ Aku boleh buat punya. Macam tulah ayat yang terngiang-ngiang dalam kepala saya beberapa hari sebelum program bermula. Padahal dalam hati, nervous haha.

15 APRIL 2016
Hari pertama bermula dengan arahan yang cukup mudah- berkumpul di FBL pukul 2.30 petang. Memang tergesa-gesa nak bersiap bawa bagasi semua ke fakulti. Maklumlah, baru usai solat Jumaat, sampai makan pun tak sempat. Selepas diberi taklimat oleh guru penasihat dan kata-kata semangat oleh Timbalan Dekan, Dr. Thilagavathy Shanmuganathan, kami diarahkan untuk mengisi bagasi ke atas bas. Rasa dia macam nak balik kampung haha. Sangat teruja. Tapi bila saat nak berangkat tu rasa sedih, sebab tak dapat naik satu bas dengan kawan baik. Mujurlah dapat kenal dengan seorang kawan yang baik, Rahman, dari Jabatan Bahasa Inggeris. Bila cakap dengan dia rasa macam tengah dengar radio haha. Tak berhenti-henti hahhahaah.



Perjalanan bermula lebih kurang pukul 3 petang dan sepatutnya tiba sebelum Maghrib, namun disebabkan terdapat beberapa masalah teknikal yang tak dapat dielakkan kami tiba 2 jam lewat dari sepatutnya. Memang letih badan masa tu. Ditambah pula dengan kesejukan akibat berada lama dalam kawasan berhawa dingin. Setibanya kami di Kampung tersebut, kami lihat anak-anak kecil sudah berlari keluar pintu rumah untuk menyambut kami. Ada juga yang segan hanya mengintai melalui dedaun tingkap hahaha. Malu la tu~ Sambutan yang kami terima tidak terhenti di situ saja. Sebaik sahaja kami melangkah keluar dari bas dan mengambil bagasi, kami dikerumuni oleh anak-anak orang asli yang sudah lama menunggu kedatangan kami. Malah ada di antara mereka yang berbesar hati membantu kami mengangkat barang ke sekolah mereka yang terletak di atas bukit. Sangat terharu…. Wuwuwuwu.



Disebabkan tiba lewat di destinasi malam itu, program kami yang sepatutnya berjalan pada malam pertama terpaksa dibatalkan. Selepas sahaja pengagihan barang dan tempat tidur, kami dilepaskan untuk membuat aktiviti bebas. Haaaa! Masa tulah kami guna untuk mengenali kanak-kanak tersebut. Tak sangka walaupun tak pernah jumpa tapi mereka layan dengan mesra sekali. Comel sangat.
Masa selebihnya digunakan untuk mengenali rakan-rakan dari jabatan lain. Maklumlah jadual tak sama. Masa nilah nak kenal-kenalkan? Hehehehe. Alhamdulillah malam tu memang tidur lena. Sejuk…




16 APRIL 2016
Bangun seawal 5.00 pagi sememangnya sukar bagi saya, namun disebabkan semangat yang berkobar-kobar untuk berkhidmat kepada bangsa dan negara saya turutkan saja, cewahhhhh! Selesai mandi, saya dan beberapa orang rakan yang lain berkumpul di surau untuk menunaikan solat Subuh berjemaah. Usai sahaja solat Subuh aktiviti pertama pun dimulakan. Aktiviti apa????




Game dia macam ni. Murid-murid SK Lanai disuruh duduk dalam satu bulatan besar. Sambil lagu dimainkan, para peserta perlu menyerahkan bekas berisi gula-gula kepada rakan di sebelah tanpa menumpahkan isinya. Apabila lagu berhenti, pelajar yang memegang bekas tersebut akan diberikan satu soalan. Sekiranya berjaya dijawab dengan tepat mereka akan mendapat dua gula-gula. Itulah dia game yang dinamakan Game Tarbawi. Usai game tersebut kami menuju ke dewan makan untuk menikmati sarapan pagi sebelum meneruskan aktiviti kami pada pagi tersebut iaitu senaman pagi.




Pada awalnya malas betul nak buat sebab pagi kan. Tapi tengok budak-budak tu bersemangat terus saya bersemangat sekali. Alhamdulillah. Senaman pagi tamat dengan jayanya. Lepas berehat dalam masa sejam begitu kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk mengajar adik-adik kami matematik. Selepas selesai kumpulan dibahagikan, kami pun bergerak ke kelas seperti yang diarahkan sambal memimpin anak murid kami. Nama anak murid saya Mohd Aiman. Comel orangnya, tetapi penyegan. Yang membuatkan saya terpegun adalah kebolehannya menghafal sifir 1-10 dengan mudah. Satu-satunya yang menyebabkan kesukaran semasa mengajar dia adalah dia sedikit perlahan kerana meskipun sudah menghafal sifir dia kerap terkeliru dan masih perlu menggunakan alat bantuan seperti jari untuk mengira. 





Selepas selesai solat Zuhur dan makan tengahari, kami menyambung kelas kami dengan mengajar bahasa Inggeris pula. Kali ini kebolehan saya tercabar kerana Aiman sememangnya lemah dalam bahasa Inggeris. Oleh sebab itu, saya terpaksa menerangkan maksud perkataan kepadanya satu persatu. Mujurlah dia jenis yang mudah menerima dan tidak malu bertanya. Setiap aktiviti diberikan diselesaikannya dengan jayanya. Aiman you rock!!! Kemudian kami meneruskan dengan aktiviti sukaneka. Kena jaga checkpoint. Haha bersemangat betul time ni... Tambah lagi adik-adik semua sporting~ Seronok betul!





Malangnya petang tu kaki saya kekejangan gara-gara kekurangan air. Jadi tak dapat sertai langsung aktiviti malam tu. Sob… sob… Mujurlah ada sahabat yang banyak membantu saya ketika saya sakit. Yes I talked about both of you, Rahman and Wadie!!!! Dan juga terima kasih kepada penasihat serta ahli Biro Keselamatan yang telah membantu mengurangkan kesakitan saya sementara menunggu bantuan tiba. Juga kepada penasihat biro kami, Encik Kamil, yang membatalkan niatnya untuk mandi sungai disebabkan terpaksa membawa saya ke Klinik. Maaf monsieur!!! Maka sepanjang malam tu cuma terlantar di atas katil…. Ahhhh bosan!!!


17 APRIL 2016

Keesokan harinya, kami bangun awal untuk menunaikan Qiam bersama. Alhamdulillah. Mujurlah kesakitan semalam telah berkurang yeah! Hari ketiga kami dimulakan dengan program mentor mentee, satu permainan yang melibatkan kami sebagai fasi dan murid-murid SK Lanai sebagai mentee kami. Kumpulan kami terdiri daripada saya, Rahman, Wadie, Syuha, Huda, Sadat dan Farhan sebagai mentor dan diberi nama Aswad(Hitam) haha. Pelbagai permainan diadakan seperti jaga belon sendiri, pass gelung getah menggunakan straw dan teka lukisan. Di sini sekali lagi saya ingin melahirkan rasa kagum terhadap ahli kumpulan kerana sikap mereka yang sporting. Namun yang lebih menyeronokkan adalah apabila melihat keletah mereka bermain bersama kanak-kanak tersebut, terutamanya Wadie, Huda dan Rahman yang sangat rapat dengan mereka. Melihatkankan ragam mereka saya berasa seronok. Mungkin kerana saya dapat melihat sisi lain mereka yang merubah pandangan saya terhadap mereka.




Selepas selesai mentor mentee, kami melaksanakan pula aktiviti seterusnya iaitu gotong-royong. Para pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan diberi tugasan masing-masing. Ada yang mengemas dan menceriakan bilik darjah. Ada juga yang menghasilkan mural. Saya juga berpeluang merasai pengalaman menjadi pekerja kedai laminate kerana terpaksa melaminate beratus helai kertas pada hari tersebut haha. Pada masa sama kami berpeluang beramah mesra dengan guru-guru di sekolah tersebut. Walaupun agak kekok kerana saya seorang penyegan, tetapi saya bersyukur kerana guru-guru di sana tidak kedekut malah gembira dapat berkongsi ilmu dengan kami.



Sebelah petangnya pula kami melakukan aktiviti sukaneka bersama murid-murid. Namun saya tida turut serta kerana membantu membuat persiapan untuk program pada sebelah malam pula. Selepas solat Maghrib berjemaah, kami dan murid-murid SK Lanai bergerak beramai-ramai ke surau berdekatan bagi menghadiri ceramah oleh Ustaz Nik Azam Nik Wajis. Ceramah yang disampaikan pada malam tersebut sedikit sebanyak memberi kesan terhadap saya sehingga menitis air mata. Kami begitu bersyukur ke hadrat ilahi kerana program pada malam itu berjalan lancar dan mendapat sambutan.


18 APRIL 2016
Ini merupakan hari terakhir kami sebelum kembali semula ke UM. Program pertama kami pada hari tersebut adalah kem amali solat yang dipimpin Biro Kerohanian dari Jabatan Bahasa Arab. Sesudah itu kami dikehendaki mengikuti perhimpunan sekolah yang diadakan. Penyampaian hadiah kepada para pemenang sempena semua aktiviti yang dijalankan sepanjang 3 hari kami berada di situ turut diadakan. Betapa gembiranya saya dan ahli kumpulan apabila kumpulan kami Aswad dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga. Tahniah!!! Swad, swad, swad, swad A~~~ Kita hebat!




Selepas selesai semuanya, kami menjalankan aktiviti gotong-royong dan berkemas-kemas untuk pulang. Banyak pengalaman baru yang kami perolehi sepanjang berada di sana. Perasaan sebak dan hiba menyelubungi kami sepanjang masa untuk berpisah dengan anak didik kami dan semasa di atas bas. Lebih mengharukan ada yang menangis ketika berpisah dan meminta kami kembali berjumpa mereka pada masa akan datang. Dan saya pula masih tidak dapat bertemu dengan adik angkat saya sehingga ke akhirnya haha. 




SELEPAS

Banyak perkara yang berlaku sepanjang aktiviti kami dijalankan. Ada yang menggembirakan, ada yang menyedihkan dan ada juga yang cukup kurang enak didengar. Walau bagaimanapun banyak perkara yang dapat dipelajari daripada perjalanan kami tersebut. Antaranya ialah semangat kerjasama, kepimpinan, tanggungjawab, pengurusan masa, kepercayaan dan banyak lagi. Semua perkara ini akan menjadikan kami insan yang lebih bertanggungjawab pada masa akan datang. Pun begitu, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak terutamanya ahli pasukan saya sendiri dan rakan-rakan lain yang banyak membantu sepanjang menjayakan program ini. Tidak lupa juga ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada fakulti kami yang telah membolehkan kami merasai sendiri pengalaman yang sangat berharga ini. Jika diimbas semula, kerana program inilah ikatan antara kami pelajar FBL terjalin. Yang sebelum ini tidak pernah kenal, jadi sahabat. Yang sudah kenal jadi lebih rapat. Di situ jugalah saya menemui rakan-rakan baru saya seperti Muhammad, Hisham, Akiko, Shaji dan banyak lagi. Sesungguhnya pengalaman ini akan selamanya terpahat di hati. Satu perkara yang saya pasti, sekiranya diberi peluang untuk menyertai program seperti ini lagi maka sudah tentu saya akan sertainya.










No comments:

Post a Comment